Monday, 19 December 2011

Boleh Ke Kita Menyambut Krismas? - Part 1




25 Disember amat sinonim dengan krismas. Disambut oleh orang Kristian sebagai hari kelahiran Nabi Isa AS. Maka timbul lah persoalan-persoalan di dalam diri kita yang berasal dari Negara Malaysia, masyarakat majmuk berbilang bangsa:

“Apakah boleh menyambut perayaan krismas?”

“Bolehkah bagi hadiah?”

“Boleh ke ucap Merry Christmas?”


Perbezaan pendapat ulama’

Amat sedikit yang berbicara berkenaan menyambut krismas sebenarnya. Semuanya apabila membincangkan perkara ini, akan menyatakan terus perkara ini secara umum di bawah tajuk:

“Hukum menyambut perayaan kaum lain”

Jadi, fatwa-fatwa mereka meliputi Tahun Baru, Thaipusam, Deepavali, Hari Raya Cina, dan seluruh perayaan kaum lain yang wujud di atas dunia ini, selain Islam.

Dalam perkara ini, terdapat dua pecahan pendapat ulama’.

Pertama – Yang Melarang, mengharamkan atas dalil-dalil tertentu.
Kedua – Yang Mengharuskan, membolehkan atas dalil-dalil terntentu.

Apeez akan tunjukkan kedua-duanya sekali. Janganlah terus dilihat kepada Yang Mengharuskanya terlebih dahulu ya. Apeez tahu entri ni panjang. Apeez cuma nak korang faham kenapa ada ulama’ menyatakannya sebagai haram agar ia masuk dalam konsiderasi kita. Bagi yang mengharuskan, Apeez nak korang lihat kenapa mereka sampai boleh mengharuskan.

Pendapat Yang Melarang & Mengharamkan

Antara yang mengharamkan menyambut perayaan kaum lain adalah Muhammad Saleh Al-Munajjid, seorang ulama’ dan ahli majlis fatwa Arab Saudi.

Pendapat beliau berasaskan hadith yang bermaksud:

“Barangsiapa yaang meniru syiar sesuatu kaum(bukan islam) maka dia dari kalangan mereka” (Riwayat Abu Daud bilangan 4031. Musnad Ahmad ibn Hanbal, bilangan 5093)

Maka di sini, perayaaan-perayaan kaum lain adalah merupakan satu syiar bagi mereka. Muhammad Saleh Al-Munajjid bertegas atas hadith ini. Beliau juga menganggap bahawa, meraikan perayaan kaum lain sama dengan meredhai kekufuran yang sedang menyaluti diri mereka. Hal ini adalah tidak dibenarkan kerana orang Islam sepatutnya berkeras dalam hal ini.

Dalilnya adalah:

“Muhammad itu Rasul Allah, dan mereka yang bersama dengannya amat keras terhadap golongan kuffar dan saling berkasih sayang pula sesama mereka(orang Islam)” Surah Al-Fath ayat 29.

Kemudian, Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah pula ada mengeluarkan fatwa, seperti berikut:

“Ikut merayakan hari-hari besar mereka adalah tidak dibolehkan kerana dua alasan”

Alasan yang pertama adalah: Bahawa hal tersebut mengikuti ahli kitab, yang tidak ada dalam ajaran kita, dan tidak ada dalam kebiasaan salaf (yakni zaman Rasulullah, para sahabat dan tabi’in).

Alasan yang kedua adalah: Kerana hal itu adalah bid’ah yang diada-adakan. Alasan ini jelas menunjukkan bahawa perkara itu sangat dibenci hukumnya, kerana menyerupai mereka dalam hal itu.

Ibn Taimiyyah menyatakan lagi: “Tidak halal bagi kau muslimin bertasyabuh(menyerupai) mereka dalam hal-hal yang khusus bagi hari raya mereka, seperti makanan, pakaian, mandi, menyalakan lilin, memberikan cuti dari bekerja dan beribadah ataupun selainnya. Tidak halal mengadakan kenduri atau memberi hadiah atau menjual barang-barang yang diperlukan untuk hari raya tersebut.

Ringkasnya, tidak boleh sama sekali melakukan sesuatu yang menyamai ciri mereka dalam syiar mereka pada hari kebesaran mereka itu. (Dalam Iqtidha Siratul Mustaqim, ditahqiq oleh Dr Nahir Al-‘Aql 1/425-426)

Antara dalil-dalil Al-Quran pula adalah:

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang kafir itu, nescaya mereka hanya akan mengembalikan kamu ke belakang(kekafiran), lalu jadilah kamu orang-orang yang merugi” Surah Ali-Imran ayat 149.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yahudi dan nasrani menjadi pemimpin-pemimpin, sebahagian mereka dalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Baragsiapa antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orag itu termasuk dalam golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidakk memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim” Surah Al-Maidah ayat 51.


Pendapat Yang Megharuskan &  Membolehkan



Antara yang mengharuskan, membolehkan adalah ulama’ yang tidak asing lagi di dunia kita hari ini, Dr Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi.

Dia menyatakan bahawa tindakan itu tidak lebih daripada sekadar bersimpati dan meraikan kebaikan yang orang lain telah lakukan kepada kita.

Bukanlah bermaksud kita mengikuti Aqidah mereka. Dia berkata:

“Ini adalah daripada hak-hak bersama. Jika seseorang ahli kitab datang dan menyampaikan tahniah dengan perayaan kamu(muslim) dan bersama dalam kesedihan dan musibah yang menimpa kamu, mengucapkan pula taakziah kepada kamu. Maka apaka pula larangan untuk kamu mengucapkan tahniah dengan perayaan mereka, dalam kegembiraan mereka, dan mengucapkan takziah dalam musibah yang menimpa mereka? Ini tidak bermakna kita menyambut perayaan itu bersama mereka, adapun ianya hanyalah ucap tahniah semata-mata, dan ini termasuk dalam berbuat baik dan adil yang datang bersama agama ini(Islam)”

Dr Sheikh Yussuf Al-Qaradhawi menukilkan satu ayat Al-Quran dalam ucapannya ini:

“Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa” Surah An-Nisa’ ayat 86.

Paksi kepada fatwa Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi ini adalah:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu atas agama. Dan tidak pula mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” Surah Al-Mumtahanah ayat 8.

Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi juga menyatakan bahawa bersama dengan orang bukan Islam dalam urusan teknikal, yakni yang bukan berkaitan dengan Aqidah, seperti bekerja, jamuan, ziarah menziarahi, dan sebagainya adalah dibenarkan. Hal ini kerana, Rasulullah SAW sendiri semasa peristiwa hijrah telah menggunakan khidmat Abdullah ibn Urayqit, seorang yahudi yang pakar dalam petunjuk jalan di padang pasir.

Seorang lagi ulama’ yang juga membenarkan adalah Syeikh Dr Mustafa Zarqa, dia adalah salah seorang dari 10 ulama’ terkenal dunia. Telah meninggal pada tahun 1999.

Beliau menyatakan bolehnya kita mengucap Selamat Hari Raya Krismas kepada rakan Kristian kita. Hal ini kerana, ia termasuk dalam mujammalah (kecantikan, kesopanan) dan keelokan dalam pergaulan. Dia menyatakan bahawa, Islam tidak melarang perbuatan adab dan sopan ini.

Beliau menegaskan bahawa, mujammalah ini tiada kaitan dengan perincian aqidah Kristian terhadap Nabi Isa AS dan sikap keterlaluan orang Kristian dalam Aqidah mereka.

Mujammalah ini juga, dikatakan termasuk dalam sikap tasammuh(toleransi) antara kita dengan orang yang bukan Islam.

Part
2 -Boleh Ke Kita Menyambut Krismas? - part-2
Sumber :- Akuislam.com

                langitilahi.com

No comments:

Post a Comment